HARAPAN TERHADAP INDUSTRI TENAGA DIPERBAHARUI

Harga minyak mentah dunia yang melambung dan tidak stabil sememangnya menjadi beban kepada orang ramai kerana ia memberi kesan besar kepada kos penjanaan tenaga elektrik, selain daripada sektor pengangkutan. Ini kerana sejak sekian lama, selain daripada menggunakan tenaga hidro, minyak digunakan dengan meluas untuk menggerakkan pusat-pusat penjana elektrik di seluruh dunia. Bagi melegakan pembekal bekalan elektrik, banyak negara kini mula beralih mencari sumber tenaga alternatif atau tenaga yang boleh diperbaharui untuk menggerakkan turbin-turbin di pusat janakuasa elektrik mereka.

Sememangnya, masih banyak tenaga alternatif dan boleh diperbaharui yang boleh digunakan seperti tenaga nuklear, air, biomas, angin, suria dan juga hidrogen. Bukan sahaja ia murah tetapi tenaga yang dihasilkan daripada bahan alternatif ini lebih bersih dan mesra alam, memandangkan ia boleh diperbaharui dengan mudah. Bagaimanapun antara tenaga yang diperbaharui, tenaga hidro (air) antara yang paling banyak dibangunkan termasuk di negara kita.

Bagaimanapun, untuk membangunkan pusat janakuasa berasaskan hidro, kita terpaksa mengorbankan sejumlah kawasan yang besar untuk menakung air dan ia pula seharusnya berada di kawasan yang terdapat air terjun. Kini timbul pula teknologi menggunakan pergerakan arus pasang surut air laut untuk dijadikan penggerak kepada sumber tenaga elektrik yang baru. Bagaimanapun, teknologi ini masih baru. Di negara ini, ramai yang semakin memberi perhatian untuk memajukan biomas sebagai sumber tenaga kerana Malaysia mempunyai sumber yang banyak ia menggunakan sumber sisa tumbuhan atau batang kayu. Sisa buangan bahan daripada pokok sawit seperti tandan, gentian dan sebagainya misalnya boleh digunakan untuk menghasilkan bahan bakar yang baik.

Konsep ini hampir sama dengan bahan api fosil seperti arang batu yang digunakan sebagai bahan bakar untuk sesetengah pusat janakuasa elektrik. Nuklear pula walaupun dikira boleh menjadi sumber tenaga yang baik tetapi perlu mengambil kira mengenai isu keselamatan. Biarpun ia tidak melibatkan pembebasan karbon dioksida tetapi ramai yang bimbang mengenai masalah sisa pembuangan bahan radioaktif. Pengarah dan Pengasas Institut Bahan Api Sel, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Wan. Ramli Wan Daud berkata, bahan api fosil bukan saja tidak boleh diperbaharui tetapi juga menyumbang peningkatan gas rumah hijau. “Tenaga alternatif yang boleh diperbaharui masih menyumbang kepada gas rumah hijau tetapi kesannya masih kurang,” katanya selepas Forum Inovasi Teknologi Bisnes di Taman Teknologi Malaysia, dekat sini, baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment