PERANCANGAN

1) PENARAFAN KECEKAPAN TENAGA PERALATAN ELEKTRIK MENJELANG 2015


Sistem penarafan bintang bagi barangan elektrik rumah akan diperkenalkan bagi menggambarkan tahap kecekapan tenaga peralatan berkenaan, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin hari ini.Beliau berkata, sistem itu yang akan memberikan penarafan antara satu dan lima bintang bagi memberikan panduan pengguna untuk memilih peralatan elektrik rumah.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan seminar peringkat negeri mengenai Kecekapan Tenaga di sini, beliau berkata, Suruhanjaya Tenaga pada masa ini sedang membangunkan sistem itu dengan kerjasama SIRIM Berhad yang akan dilaksanakan menjelang 2015."Sistem penarafan akan menjadi satu daripada mekanisme yang digubal di bawah Pelan Induk Kecekapan Tenaga Kebangsaan akan diumumkan sedikit masa lagi,” katanya.

Sistem penarafan mengenai peralatan elektrik terbukti telah dapat meningkatkan kesedaran mengenai penjimatan dan kecekapan tenaga di beberapa negara yang telah melaksanakannya, katanya.Terdahulu, semasa berucap Chin berkata, Suruhanjaya Tenaga setakat ini telah menyenaraikan empat peralatan - peti sejuk, pendingin hawa, televisyen dan kipas elektrik - bagi sistem penarafan dan senarai itu akan dikembangkan meliputi mesin basuh dan pemanas air.

2) TENAGA  BOLEH DIBAHARUI

Selaras dengan matlamat Rangka Rancangan Jangka Panjang Ketiga (OPP3) (2001-2010) dan Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005) untuk mengalak dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharu (RE), maka Kerajaan telah merangka beberapa strategi bagi memantap dan membangunkan penggunaan RE sebagai sumber tenaga kelima (5) negara.

Bagi tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9), Kerajaan telah menetapkan sasaran penjanaan tenaga elektrik secara gridconnected menggunakan sumber- sumber RE seperti seperti biomass, biogas, mini-hidro, angin, solar dan municipal waste pada kapasiti 350MW iaitu melibatkan 300MW di Semenanjung Malaysia dan 50MW di Sabah.

Kerajaan sentiasa komited untuk mempastikan kejayaan pembangunan RE di Malaysia khususnya melalui pelaksanaan program Pembangunan Janakuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharu (Small Renewable Energy Programme - SREP) yang diperkenalkan pada tahun 2001. Pelbagai usaha dilakukan oleh Kerajaan bertujuan menarik minat pemaju-pemaju projek RE untuk melibatkan diri secara aktif dalam sektor ini seperti penubuhan infrastruktur untuk pembangunan RE, merangka program-program bagi pembangunan industri & pasaran RE dan menyediakan persekitaran yang lebih kondusif.


3) PROGRAM NASIONAL BAGI 'BIOMASS-BASED POWER GENARATION AND COGENERATION IN THE MALAYSIAN PALM OIL INDUSTRY' (BIOGEN)

Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi telah menerima kemudahan yang besar daripada 'GEF' bagi membangunkan sebuah projek untuk Program Nasional bagi 'Biomass-based Power Genaration and Cogeneration in the Malaysian Palm Oil Industry' (Biogen). Tujuan utamanya adalah untuk menentukan serta mengatasi segala yang menjadi penghalang dalam usaha negara mengkomersilkan penggunaan sisa buangan biojisim co-generation, termasuklah penjana kuasa 'grid connected' di Malaysia.


4) TENAGA  SOLAR

Penggunaan tenaga solar amat terhad di negara kita. Penggunaan solar yang utama adalah sistem pemanasan air bersolar di hotel-hotel, industri kecil makanan dan minuman serta di rumah-rumah golongan kelas pertengahan atas. Adalah dianggarkan tidak kurang daripada 10,000 unit sistem air panas domestik telah dipasang setakat ini.

Satu pertiga daripada jumlah peruntukan kerajaan yang bernilai RM469 juta bagi program-program pengelektrikan luar bandar di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh telah diperuntukkan bagi tujuan pemasangan kuasa solar untuk kegunaan penduduk di kawasan luar bandar mahupun pedalaman.

Sebuah projek yang diberi nama '100kWp Demonstration Photovoltaic Project' telah dilaksanakan atas inisiatif Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi, dengan Kerajaan Jepun yang diwakili oleh NEDA di Marak, Sabah. Projek ini telahpun siap pada tahun 1995. Projek ini telah menjadi permulaan bagi pemindahan teknologi yang lebih cekap dan berkesan dalam aspek penjanaan kuasa PV.

TNB Research Sdn Bhd sedang menjalankan sebuah projek penyelidikan tentang 'Photovoltaic Grid Connected Roof Solar 3kW'. Ia dibiayai tabung amanah tersebut (RM500,000). Selain itu, terdapat sebuah projek demonstrasi 'Hybrid Diesel Solar PV' oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia yang juga dibiayai tabung amanah tersebut (RM472,000).



5) PUSAT PENDIDIKAN, LATIHAN DAN PENYELIDIKAN TENAGA DIPERBAHARUI DAN KECEKAPAN TENAGA (CETREE)


"Organisasi ini diwujudkan atas kesedaran kerajaan dalam memainkan

peranannya dalam meningkatkan pengetahuan dan kesedaran peranan
tenaga yang diperbaharui dan kecekapan tenaga kepada golongan
professional, sekolah, institusi pengajian tinggi, sekolah dan juga
terhadap orang awam di Malaysia yang merupakan salah satu teras daripada 
dasar Teknologi Hijau Negara"

Penubuhan CETREE merupakan hasil persetujuan kerajaan Malaysia melalui Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi yang kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dibawah pimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Kementerian ini ditubuhkan atas hasil kesedaran kerajaan dalam menangani isu-isu global semasa seperti pencemaran alam sekitar, pemanasan global, penipisan lapisan ozon dan isu-isu yang berkaitan dengannya. Fungsi kementerian ini adalah bertanggungjawab dalam merancang dan melaksana dasar dan program teknologi hijau. Disamping itu juga, kementerian ini bertanggungjawab dalam mentabdir, mengawalselia serta menguruskan hal-hal yang berkaitan tenaga, teknologi hijau dan air di Malaysia.


Penubuhan CETREE juga adalah selaras dengan teras strategik dalam Kementerian Tenaga,Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA). CETREE yang bernaung di bawah kementerian ini telah menjalankan tugasnya selaras dengan visi dan misi kementerian tersebut. Organisasi yang berpusat di Universiti Sains Malaysia (USM) ini telah melaksanakan pelbagai aktiviti membabitkan Tenaga Diperbaharui (TD) dan Kecekapan Tenaga (KT) yang disokong oleh polisi kerajaan dan dinyatakan dalam dokumen perancangan rasmi seperti Rancangan Malaysia Kelapan dan Rancangan Rangka Perspektif. Kedua-dua rancangan ini telah menyatupadukan TD dan KT sebagai elemen yang penting dalam membangunkan Negara. TD merupakan satu elemen yang signifikan dalam keseluruhan sektor tenaga sebagai sumber bahan api kelima Negara. Melalui polisi kerajaan terhadap KT adalah ingin meyatupadukan kecekapan tenaga sebagai unsur utama dalam keseluruhan senario tenaga di Negara ini. 


Hasil dari teras yang dimajukan oleh KeTTHA ini dalam menubuhkan agensi teknologi hijau dalam menyelaraskan dan melaksanakan usaha dan program teknologi yang efektif. CETREE telah memainkan peranannya sebagai saluran dalam menyebarkan kesedaran kepada orang ramai tentang teknologi hijau,tenaga diperbaharui dan kecekapan tenaga. Sehingga kini CETREE telah berjaya menempa kejayaan sebagai salah sebuah pusat penyelidikan dan pendidikan TD dan KT disamping memperkenalkan teknologi hijau kepada masyarakat. Selain itu, CETREE juga telah memperkenalkan van dan bas teknologi hijau yang menggunakan sumber-sumber tenaga diperbaharui sebagai ikon CETREE dalam menjalankan kempen kesedaran TD dan KT di seluruh Negara.






6) SMALL RENEWABLE ENERGY POWER PROGRAMME (SREP)


Apakah SREP?
Selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkasakan pembangunan RE sebagai bahanapi kelima negara, Program Janakuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (SREP) telah dilancarkan pada 11 Mei 2001. Program SREP ini merupakan inisiatif Kementerian Tenaga, Kominikasi dan Multimedia (kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air) dengan objektif untuk mempromosikan penggunaan meluas sumber-sumber tenaga yang boleh diperbaharui yang terdapat di negara ini, khususnya untuk penjanaan kuasa.

Melalui Program ini, janakuasa-janakuasa kecil yang menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui boleh memohon  untuk menjual elektrik kepada utiliti melalui Sistem Grid Pengagihan. Penggunaan semua jenis sumber Tenaga Yang Boleh Diperbaharui, termasuk biomass, biogas, ‘municipal waste’, solar, mini-hidro dan angin, adalah dibenarkan di bawah Program ini. Bagi menyelaras pelaksanaan projek-projek di bawah Program SREP, sebuah Jawatankuasa Khas Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (SCORE) telah diwujudkan di Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia (kini dikenali sebagai Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air); di mana Suruhanjaya Tenaga bertindak sebagai Urusetia Program SREP.



Garis Panduan SREP
Dalam meningkatkan pembangunan usaha menyambung loji kecil RE kepada sistem grid, SCORE akan menggunapakai Garispanduan berikut:
  1. SREP adalah meliputi semua jenis sumber tenaga yang boleh diperbaharui, termasuk biomes, biogas, ‘municipal waste’, solar, mini-hidro dan angin.
  2. Pengusaha projek dikehendaki berunding terus dengan pihak Utiliti yang berkenaan mengenai  ‘Renewable Electricity Purchase Agreement’, termasuk harga jualan di atas dasar ‘willing-seller, willing buyer’, berlandaskan ‘take and pay’.
  3. Pengeluar elektrik RE akan diberi lesen bagi tempoh 21 tahun, bermula dari tarikh loji memulakan operasi.
  4. Pengeluar elektrik RE hendaklah menanggung semua kos bagi penyambungan kepada grid, pengukuhan sistem Utiliti yang berkenaan (kabel elektrik, ‘transformer’, ‘switchgears’ dan peralatan keselamatan yang lain) dan pemasangan meter.  Sambungan kepada pembahagian grid adalah pada aras voltan diantara 11- 33 kV.
  5. Lokasi bagi loji janakuasa kecil RE haruslah terletak di dalam lingkungan 10 km dari ‘interconnection point’ yang terdekat.  Pengecualian bagi projek janakuasa hidro.
  6. Tiada sebarang ‘stand-by charges’ yang akan dikenakan.  Walaubagaimanapun, jika pengusaha projek memerlukan ‘back energy’, ia akan dikenakan mengikut tarif semasa.
  7. Keutamaan akan diberikan kepada penjanaan kuasa melalui teknologi ‘co-generation’.
  8. Kapasiti maksimum bagi loji janakuasa kecil RE yang direkabentuk bagi penjualan kuasa kepada grid adalah 10 MW.  Dari segi saiz, sesebuah loji janakuasa boleh melebihi 10 MW, tetapi kapasiti kuasa yang dibenarkan bagi dieksport kepada grid pembahagian tidak boleh melebihi 10 MW.
  9. Loji janakuasa kecil RE mesti telah sedia bagi penyambungan kepada grid dalam tempoh 12 bulan selepas daripada tarikh mendapat kelulusan bagi penyambungan grid.  Ini boleh digunapakai oleh loji yang sedia ada yang ingin disambungkan kepada grid.  Walaubagaimanapun, bagi cadangan untuk membina loji janakuasa kecil RE yang baru (atau bagi cadangan untuk ‘re-powering’) di mana memerlukan pemasangan ‘boiler’ atau sistem penjana turbo yang baru, tempoh memulakan operasi hendaklah dalam tempoh masa 24 bulan.  Tempoh bagi permulaan operasi akan dikira dari tarikh Renewable Electricity Purchase Agreement (REPA) ditandatangani antara pengusaha dan pihak Utiliti.
  10. Loji janakuasa kecil RE mestilah menepati segala peraturan alam sekitar yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), dan menjadi bertanggungjawab pengusaha projek untuk mendapatkan kelulusan yang berkenaan dari JAS, dan sebarang kelulusan lain yang di tetapkan oleh undang-undang.
Sekurang-kurangnya 30% ekuiti dalam projek janakuasa RE hendaklah dipegang oleh Bumiputera.  Syarikat/agensi asing dibenarkan menyertai dalam projek SREP dengan penyertaan had ekuiti maksima sebanyak 30%.



7) SABAH TERAJUI PENGGUNAAN TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI 

Kota Kinabalu Tenaga yang boleh diperbaharui (Renewable Energy) merupakan salah satu sumber tenaga dalam 5 Fuel Policy Kerajaan Malaysia selain daripada minyak diesel, hidro, gas dan arang batu. Mengikut dasar tenaga yang boleh diperbaharui (RE Policy) yang sedang berkuatkuasa ketika ini, sasaran penggunaan RE ialah 5% daripada jumlah kapasiti janaan negara. Di Negeri Sabah, SESB telah menandatangani lima (5) Perjanjian Pembelian Tenaga yang boleh diperbaharui (Renewable Energy Power Purchase Agreement) sejak tahun 2002 lagi dengan lima (5) syarikat Penjana Bebas (IPP) dan kini sedang berbincang dengan 10 buah syarikat lagi untuk membangunkan stesen janakuasa berasaskan RE seperti biomass, biogas , hidro dan geothermal. 

Setakat ini sebanyak 32MW telah disalurkan ke Sistem Grid Sabah oleh tiga (3) Syarikat yang menggunakan sumber biomas dan satu (1) syarikat menggunakan hidro. Ini merupakan 2.8% (peratus) daripada kapasiti janaan yang sedia ada di negeri Sabah berbanding dengan hanya 0.5% di peringkat kebangsaan.

Justeru itu, negeri Sabah merupakan peneraju dalam penggunaan RE sebagai sumber janaan untuk sistem pembekalan elektrik di negara ini. SESB telah menggunakan semua tenaga yang dijana daripada stesen janakuasa RE dan ini menunjukkan kesungguhan SESB untuk menyumbang ke arah penggunaan teknologi hijau secara berkesan.Kos pembelian sumber tenaga RE ( Biomass ) melalui Syarikat IPP ini juga telah ditetapkan oleh kerajaan dalam kadar 17 sen ke 21 sen seunit bergantung pada jenis sumber tenaga RE. Kos ini sesuai dengan struktur tarif yang sedia ada kerana purata kos jualan SESB pada ketika ini ialah 25.22 sen berbanding dengan kos pengeluaran pada ketika ini ialah 41.55sen (tanpa subsidi minyak) atau 30.22 sen (dengan subsidi minyak). Ini menunjukkan bahawa terdapat negative margin 5 sen (dengan subsidi) pada setiap unit yang dijual oleh SESB. Tarif elektrik yang berkuatkuasa sekarang ini tidak berubah sejak tahun 1986.

Bagaimanapun berdasarkan situasi pada masa ini, RE tidak boleh dijadikan stesen janakuasa tambatan (base load) terutama sekali di Pantai Timur Sabah kerana kapasitinya yang kecil dan bekalan bahan bakar yang kurang reliable. Walau bagaimanapun, SESB akan terus bekerjasama dengan syarikat-syarikat yang mengusahakan RE ini bagi menampung permintaan tenaga di negeri ini dan seterusnya menyokong usaha kerajaan untuk mengamalkan teknologi hijau.

9) LAUNGAN HIJAU LANGKAWI


Bukan menjadi gerak kempen yang hanya kecoh dicanang mulut, seisi Langkawi begitu komited melakar sejarah sebagai model unggul pelaksanaan polisi hijau di negara ini dan serantau.ADA beberapa kesimpulan dapat dirumus apabila melihat kira-kira 6,000 orang pelajar yang sanggup berpanas di sepanjang hamparan Pantai Cenang, Langkawi, Sabtu lalu. Antara lain, ia mencerminkan sifat sabar, serius dan beriltizam tinggi dalam melaungkan matlamat mereka.

Nyata ia lebih daripada sekadar gimik. Rantaian abjad daripada formasi dudukan para pelajar dari 30 buah sekolah itu yang membentuk tulisan 'Climate Change, 1Malaysia, Langkawi, Save Our Earth' dapat dilihat jelas dari ruang udara.  Tatkala keriangan acara tersebut dirakamkan oleh jurugambar yang meluncur dengan payung terjun setinggi 300 meter dari aras laut, jelas sudah bahawa isyarat kempen penting itu sudah masuk ke gear seterusnya.


Acara Green Month 2009 Save Our Earth memulakan rentaknya di Langkawi, Kedah pada 31 Oktober lalu sehingga 30 November 2009. Ia dilangsungkan bersempena sambutan 'Bulan Selamatkan Bumi Kita' yang jatuh pada bulan November dan dipadatkan dengan pengisian pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat. "Kesedaran ini sudah bermula lebih awal. Namun, ketika idea kempen hijau ini hendak dimulakan, saya merasakan bahawa laluannya sangat sukar dan sepi. Hampir tiada pihak yang tampil untuk bergerak bersama. 

"Sehinggalah selepas tempoh tertentu, ia mendapat sokongan sedikit demi sedikit," ujar Pengarah Urusan Kumpulan, Asian Overland Services (AOS), Anthony Wong dalam ucapan alu-aluannya. AOS Conventions & Events Sdn. Bhd. yang aktif dalam merintis agenda hijau di bumi Langkawi bergabung tenaga dengan Peratuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) serta jabatan dan agensi kerajaan tempatan bagi merealisasikan kempen tersebut.


Kesedaran aset utama


Lanjutan daripada gerak kerja yang telah dilakukan sebelum ini, Green Month 2009 Save Our Earth berlangsung atas landasan objektif bagi memperinci langkah-langkah mengurangkan perbelanjaan, meningkatkan kesedaran dan kuasa pendidikan, serta berkongsi ilmu baru berkaitan pemuliharaan alam. "Kesedaran yang paling menguntungkan adalah apabila ia disemai di kalangan generasi muda, bermula dengan pelajar prasekolah hinggalah ke peringkat lebih tinggi. Kita mahu bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran tentang isu ini.

"Jika generasi semasa sudah faham akan konsep hijau, banyak kaedah yang dapat diterbitkan daripadanya demi kebaikan manusia dan alam sekitar untuk masa akan datang," tambah Anthony. Selain rantaian formasi pelajar di Pantai Cenang itu, acara hujung minggu lalu turut melibatkan pengelolaan program bengkel berkaitan seni kraf, pengenalan ekoenzim, projek rumah pokok, pertandingan melukis kad dan poster, serta projek akademik berkumpulan.

Kempen tersebut bukan acara untuk mengaut sebarang keuntungan memandangkan setiap hasil sumbangan disalurkan kepada Yayasan Save Our Earth yang diwakili kumpulan organisasi bukan kerajaan dan universiti. Dana tersebut akan dilaburkan untuk menggerakkan projek-projek penggalakan perlindungan alam sekitar dan penstrukturan semula usaha membangunkan agenda hijau. Bagi merealisasikannya, matlamat itu memerlukan sokongan semua pihak, baik pihak pemerintah, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan dan juga komuniti setempat.



Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Nor Azmal Mohd Nazir memberitahu, cabaran dalam usaha melestari alam sekitar dan dalam masa yang sama menjaga kepentingan kehidupan manusia adalah usaha yang sangat sukar. "Kita perlu memikirkan tentang kerja-kerja pemuliharaan juga amat penting. Ia memerlukan penglibatan dan sokongan pelbagai pihak, khususnya masyarakat tanpa mengira usia dan latar ekonomi," terang beliau. Dengan berlandaskan prinsip hijau yang menjadi teras operasi 4R iaitu Reduce (Mengurangkan), Reuse (Penggunaan Semula), Recycle (Kitar Semula) dan Rethink (Fikir Semula), banyak penjimatan boleh dicapai dan pada masa yang sama menggalakkan manfaat amalan kod hijau.


Tidak ketinggalan


Amalan itu termasuklah mencari mekanisme mengitar semula material buangan untuk dijadikan bahan binaan, mempelbagaikan kegunaan tenaga, penumpuan penuh dalam produksi organik serta meminimumkan impak operasi dalam kehidupan manusia demi menjaga kepentingan alam sejagat. "Bagi mencapai objektif teknologi hijau, program kesedaran awal seperti acara ini perlu sentiasa dijalankan selain peranan pihak swasta dan badan-badan berkecuali yang berperanan sebagai pemacu.
 
"Dalam peruntukan bajet 2010 juga, sejumlah wang akan disalurkan bagi tujuan promosi dan penggalakan teknologi hijau," jelas beliau mengenai penyertaan Malaysia dalam banyak pameran bertaraf antarabangsa. Menurut Nor Azmal, jika bercakap tentang perbandingan teknologi dan polisi hijau yang dijalankan di negara ini, pencapaian Malaysia sebenarnya tidak jauh berbeza dengan kebanyakan negara di rantau asia Tenggara dan di seluruh dunia.

Tambah beliau, Malaysia banyak memantau dan mempelajari modul hijau dari pelbagai negara luar dan sekali gus menjalankan banyak usaha kajian dan pembangunan di dalam negara. Pencapaian yang diraih dalam setiap penemuan itu turut dikongsi dengan banyak negara lain demi manfaat sejagat. "Kita tidak ketinggalan malah kesungguhan kita diakui oleh pihak luar. Malah, mereka kagum kerana Malaysia berani meletakkan istilah 'teknologi hijau' secara langsung dalam nama kementerian," jelas Nor Azmal.





Hakikatnya, segala usaha pencarian penyelesaian dan impak positif bagi menangani isu perubahan iklim dan cabaran ekonomi terletak di bahu kita semua. 

Harapan yang kini terbina lebih tinggi daripada Gunung Mat Chincang adalah untuk berkongsi amalan hijau di pulau legenda ini dan seterusnya dijadikan model unggul kepada seluruh rakyat Malaysia dan dunia. 





10) TEKNOLOGI MPOB DAPAT PENGIKTIRAFAN DUNIA


BANGI: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dipilih penerima Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan Frost & Sullivan Asia Pasifik 2007 bagi mengiktiraf pencapaiannya dalam penyelidikan bioteknologi tanaman sawit.  Anugerah itu disampaikan Pengarah Urusan Frost & Sullivan bagi Asia Tenggara, Manoj Menon kepada Ketua Pengarah MPOB, Dato' Dr Mohd Basri Wahid pada Majlis Penyampaian Anugerah Q MPOB di Kuala Lumpur baru-baru ini. Pada majlis itu, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) MPOB dipilih penerima Anugerah Frost & Sullivan 2007 bagi kecemerlangan penyelidikan dalam bioteknologi. 

Pemilihan ABBC bersandarkan pencapaiannya dalam penyelidikan dan penghasilan teknologi terkini bidang bioteknologi dan biakbaka bahan tanaman sawit. Dalam kenyataan Ketua Pengarah MPOB, Dato’ Dr Mohd Basri Wahid berkata, ABBC memberi fokus terhadap penyelidikan bioteknologi sawit seperti Metabolik, Transformasi Tanaman, Kultur Tisu, Pengekspresan Gen, Genomik, Pembiakan dan Kejuruteraan Genetik. 

Katanya, ia bertujuan memaksimumkan pengeluaran hasil tanaman sawit dan menambah baik kualiti dan nilai minyak sawit. ABBC menjalankan penyelidikan program biakbaka dan genetik yang menghasilkan bahan tanaman sawit berhasil tinggi, pokok renek, mengandungi nilai iodin, kandungan isirung, karoten, vitamin E dan asid oleik yang tinggi. “Penyelidikan itu sejajar dengan matlamat peningkatan produktiviti dan kualiti minyak sawit serta peningkatan penghasilan produk hiliran berasaskan sawit dalam bidang makanan dan bukan makanan,” katanya 

Penyelidikan melalui teknik pengklonan invitro yang dikenal pasti teknik terbaik bagi pengeluaran benih sawit dengan hasil yang tinggi dan mampu menghalang serangga dan penyakit. ABBC juga memajukan teknik penanda bantuan pemilihan (Marker Assisted Selection - MAS) bertujuan meramal warna buah sawit untuk proses penuaian tandan buah sawit yang masak dengan lebih cekap dan berkesan. 

Kenyataan itu menambah MPOB menumpukan usaha menghasilkan minyak sawit dengan kandungan stearic yang tinggi (digunakan dalam plastic biodegradable) dan sawit yang mengandungi kandungan lycopene tinggi yang digunakan dalam neutraceutiocls. Penyelidikan MPOB dalam bidang bioteknologi menghasilkan teknologi termasuk penanda molekular dalam sawit yang sudah dan dalam proses untuk di paten di Amerika Syarikat dan Australia, selain dengan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO). Pada majlis sama, MPOB turut menyampaikan anugerah kepada penyelidik yang berjaya menghasilkan teknologi dan inovasi baru termasuk yang dikomersilkan serta memberi sumbangan terhadap industri sawit negara.






11) PERANAN FELDA DALAM   MEMAJUKAN BAHAN BAKAR BIOMASS

Keghairahan dunia dalam mencari bahan bakar alternatif untuk menjana tenaga elektrik yang mencukupi mencetuskan perubahan kepada corak penggunaan tenaga global. Walaupun ‘dihidangkan' pelbagai pilihan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga hidro, biomass, angin, solar, geoterma dan biofuel, beberapa negara maju masih mencari sumber tenaga yang efektif dalam kos terendah bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api minyak, gas dan arang batu.

Justeru, tidak mustahil permintaan terhadap sumber tenaga biomass atau sumber tumbuh-tumbuhan, menyaksikan peningkatana mendadak khususnya di kalangan negara maju atau industry pengeluar tenaga dunia.Sumber biomass dilihat antara alternative yang praktikal, murah dan mudah diperoleh khususnya di negara pengeluar hasil pertanian dan perladangan.

Malaysia sebagai negara pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia turut tidak ketinggalan meneroka pasaran sumber tenaga ini dalam usaha mengoptimumkan hasil ladang kelapa sawitnya. Langkah bijak memproses semula bahan buangan kelapa sawit seperti tandan kosong yang sebelum ini hanya dibiarkan di ladang berjaya memberikan keuntungan yang berlipat ganda apabila ia diproses semula sebagai bahan bakar yang boleh dieksport.

Pengurus Besar Bahagian Biomass FELDA Holdings Bhd, Ahmad Nor Azman Jamin, berkata tandan kosong boleh diproses semula sama ada kepada bahan bakar jenis pellet atau jenis arang yang mempunyai kualiti pembakaran yang hampir dengan arang batu. Katanya, pemprosesan semula tandan kosong kepada pellet bertujuan mengurangkan kos logistik serta memastikan ia menepati kualiti yang ditetapkan pelanggan seperti kadar kelembapan rendah, ketumpatan dan saiz yang kecil tapi mempunyai kandungan kalori tinggi untuk kualiti pembakaran. "Lebih mampat lebih baik untuk dieksport bahkan kandungan kalorinya yang tinggi akan meningkatkan keupayaan bahan bakar. Jadi, dua factor menjadi keutamaan iaitu saiz, kemampatan dan kadar kelembapan untuk menghasilkan pellet yang stabil, tiada kulat dan tidak mudah pecah.

"Proses ini boleh ditambah untuk menghasilkan bentuk arang. Ia masih dalam penyelidikan kami yang mana kadar pembakaran jenis arang ini hampir mencapai kualiti arang batu. Nilai jualannya boleh ditingkatkan dan ia lebih berpotensi dalam pembakaran lengkap dan jangka panjang," katanya dalam temubual bersama Berita Harian baru-baru ini. Beliau ditemui ketika lawatannya ke kilang OPF Felda Bukit Sagu untuk meninjau operasi penghasilan pellet OPF bagi makanan ternakan. Ahmad Nor Azman menjelaskan, proses menghasilkan pellet bahan bakar mempunyai proses hampir sama dengan pellet OPF yang mana membabitkan proses pengumpulan tandan kosong, pemotongan tandan, beberapa peringkat pengisaran, pempelletan, penyejukan dan pembungkusan. 

Katanya, bagi setiap peringkat, proses pengeringan perlu dilaksanakan secara berterusan bagi mengurangkan kadar kelembapan dalam tandan kosong yang pada mulanya mempunyai 65 peratus kadar kelembapan kepada 45 peratus dan seterusnya sehingga mencapai kelembapan 20 peratus. Beliau berkata, kelembapan yang tinggi akan menyebabkan pembakaran pellet tidak lengkap dan menghasilkan asap Putih yang mencemarkan udara serta boleh menjejaskan kandungan kalori atau kualiti pembakaran.

"Selepas tandan kosong dipotong, dilerai pada saiz sekitar 50 milimeter (mm) dan dikeringkan, ia akan dikisar kembali sehingga mencapai saiz bawah 10mm supaya sesuai untuk dimasukkan ke dalam mesin pempelletan. Pellet ini kemudian perlu disejukkan untuk menstabilkan suhunya."Saiz pellet boleh disesuaikan mengikut kehendak pelanggan, misalnya ketika kini pellet dihasilkan pada saiz garis pusat antara 10mm sehingga 12mm dengan panjang lebih kurang 20mm hingga 30mm. Ia penting bagi mengekalkan kadar kemampatan pellet," katanya. FELDA kini sedang membangunkan kilang memproses pellet di Semenchu yang akan dijual kepada pembeli utama, Tepco iaitu antara pembekal tenaga elektrik terbesar Jepun. Ia dibekalkan menerusi Itochu Corporation, syarikat Jepun yang menjadi rakan kongsi dalam projek sumber tenaga boleh diperbaharui itu.


12) RM20 JUTA JADIKAN MALAYSIA TEKNOLOGI HIJAU


MUHYIDDIN Yassin melakukan upacara simbolik perasmian Loji Janakuasa Tanjung Bin dekat Pontian Johor, semalam. Turut kelihatan Abdul Ghani Othman (tengah) dan Abdul Halim Ali. Kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakkan aktiviti dan amalan gaya hidup mesra alam sekitar bagi menjadikan Malaysia Teknologi Hijau.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada peruntukan RM1.52 bilion Bajet 2010 bagi mempromosi dan menggalakkan pertumbuhan industri teknologi hijau di negara ini. "Ini adalah satu pandangan jauh ke depan bahawa Malaysia melihat kepada teknologi hijau dan dasar khas telah digubal untuk perkara ini.

"Pada tahun depan, kerajaan akan mengadakan pelbagai pameran utama dan ia menunjukkan kerajaan amat serius mengenai perkara ini," katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Loji Janakuasa Tanjung Bin di Serkat dekat sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan Pengerusi Malakoff Corporation Berhad, Tan Sri Abdul Halim Ali. Muhyiddin berkata, pameran berkenaan akan dijalankan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang antara lain bertujuan memupuk kesedaran orang ramai terhadap teknologi hijau.

Katanya, pelbagai sektor juga akan menggunakan pelbagai teknologi yang mesra alam bagi memastikan dasar teknologi hijau negara tercapai. "Di sini saya menyeru semua pihak menyokong usaha menggalakkan kesedaran hijau kerana ia bukan sahaja terletak di bahu kerajaan tetapi juga tanggungjawab semua," katanya.

Mengenai loji tersebut, Muhyiddin berkata, loji merupakan antara projek prasarana terbesar di Asia Tenggara dengan kos RM7.8 bilion dan berupaya menjana kuasa sebanyak 2,100 mega wat (MW). Beliau berkata, operasi loji berkenaan sangat mengambil kira kepentingan alam sekitar kerana ia menggunakan teknologi arang batu bersih seperti Pemendak Elektrostatik (ESP) dan Penyahsulfur Gas Serombong (FGD). "Teknologi ini membolehkan loji mengekalkan tahap pelepasan dalam had yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar," jelasnya. Abdul Halim berkata, selain di Tanjung Bin, Malakoff yang mempunyai tiga lagi loji, membolehkan syarikat itu menjana kuasa elektrik sebanyak 5,020 mv atau lebih kurang 25 peratus dari kapasiti yang terdapat di Semenanjung. Beliau berkata, tiga loji itu ialah sebuah di Prai, Pulau Pinang dan dua di Lumut, Perak.



13) DASAR TEKNOLOGI HIJAU

MIRI: Hala tuju pembangunan teknologi hijau negara akan ditetapkan selepas mesyuarat pertama Majlis Teknologi Hijau Negara yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya, pada 26 Januari ini.

Lapan menteri bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan menghadiri mesyuarat itu yang bertindak sebagai satu komponen Teras Strategik Pertama mempromosi aplikasi teknologi hijau selaras objektif dan matlamat Dasar Teknologi Hijau Negara.  Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin, berkata mereka ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan; Datuk Seri Dr Rais Yatim; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd Khaled Nordin.  Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Mansor dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Kong Cho Ha.

"Mesyuarat pertama ini susulan pelancaran Dasar Teknologi Hijau oleh Perdana Menteri, Julai lalu," katanya pada sidang media, di sini semalam. Beliau berkata, majlis itu mungkin akan menjemput pakar luar negara dalam bidang pembangunan teknologi hijau untuk menganggotai jawatankuasa teknikal yang bakal ditubuhkan bagi memantapkan lagi usaha kerajaan memajukan teknologi berkenaan di negara ini.

Selepas mesyuarat pertama itu, Chin berkata, Perdana Menteri dijangka melancarkan Skim Pinjaman Mudah Teknologi Hijau di Putrajaya, susulan pengumuman dalam Bajet 2010 berhubung peruntukan RM1.5 bilion untuk membangunkan teknologi terbabit.  Katanya, di bawah skim itu, syarikat pembekal teknologi hijau boleh membuat pinjaman sehingga RM50 juta sementara syarikat pengguna pula boleh mendapat pinjaman maksimum RM10 juta.

Selain itu, Chin berkata, kementeriannya buat julung kali akan menganjurkan International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM 2010) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, 14 hingga 17 Oktober ini.  Katanya, Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Menteri Berkaitan Teknologi Hijau dan program institusi pengajian tinggi awam tempatan dan universiti luar negara turut diatur ketika pameran dan persidangan antarabangsa itu.

Mengenai kesediaan kerajaan memperkenalkan penggunaan kenderaan eletrik dan hibrid di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur, beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan syarikat pengeluar kereta tempatan, Proton Holdings. Katanya, penggunaan kenderaan itu mampu mengurangkan masalah pencemaran yang berpunca daripada penggunaan kenderaan diesel dan petrol.


14) PUSAT TENAGA MALAYSIA (PTM)


BANGI 24 Julai - Bangunan Pusat Tenaga Malaysia (PTM) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini signifikan dengan pelancaran Dasar Teknologi Hijau Negara yang memberi penekanan kepada empat tonggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Bangunan Green Energy Office (GEO) PTM itu dibina dengan kos RM20 juta meliputi unsur-unsur kecekapan tenaga dan tenaga boleh diperbaharui (RE).

Bangunan berkeluasan 4,152 meter persegi dengan kawasan berhawa dingin seluas 3,175 meter persegi itu mempunyai keunikan antara lain dilengkapi dengan sistem fotovoltaik bersepadu bangunan (BIPV) yang berfungsi sebagai sel menyimpan tenaga solar (suria) 93kwP (kilowatt peak). Terletak di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi, bangunan setinggi empat tingkat itu agak unik kerana susunan plat silikon (sistem fotovoltaik) kelihatan dari jauh seolah-olah menjadi simbol penggunaan tenaga solar yang maksimum sebagai identitinya.

Bangunan tersebut dibina pada 2005 dan berjaya disiapkan dua tahun kemudian di kawasan seluas dua hektar dan kini diiktiraf sebagai GEO atau bangunan hijau pertama di negara ini. Bangunan hijau merujuk kepada aplikasi-aplikasi Malaysia Green Index yang dibangunkan oleh Green Building Index Sdn. Bhd. di bawah seliaan Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Persatuan Perunding Jurutera Malaysia (Acem).

Dengan penerapan unsur-unsur penjimatan tenaga dan RE, bangunan tersebut menggandingkan teknologi kecekapan tenaga yang dipertingkatkan dan teknologi penjanaan tenaga daripada sumber diperbaharui.

 
15) REBAT BELI PERALATAN JIMAT TENAGA

KERAJAAN akan memperkenalkan rebat bagi pembelian peralatan peti sejuk, alat penyaman udara dan penyejuk yang mempunyai keupayaan penjimatan tenaga kepada pengguna yang layak untuk meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga.Di bawah inisiatif itu, pengguna yang layak akan diberikan rebat sebanyak RM200 bagi pembelian peti sejuk baru dan RM100 bagi alat penyaman udara. Kedua-dua peralatan berkenaan adalah barangan kegunaan isi rumah, manakala penyejuk adalah bagi kegunaan komersial. Kerajaan dijangka akan membelanjakan sehingga RM50.2 juta tahun ini bagi tujuan berkenaan.

Pengumuman mengenai rebat berkenaan akan dibuat pada 7 Julai ini, kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee, pada taklimat perkembangan kemajuan Program Transformasi Ekonomi (ETP) keenam di Kuala Lumpur, semalam.Inisiatif yang dibiayai kerajaan itu adalah sebahagian daripada program kelestarian yang Dicapai Melalui Kecekapan Tenaga (SAVE) di bawah ETP untuk meningkatkan kecekapan tenaga di Malaysia melalui lima inisiatif.

SAVE akan dilaksanakan melalui kerjasama antara Kementerian dengan syarikat-syarikat utiliti, Tenaga Nasional Bhd, Sarawak Electricity Bhd dan Sabah Electricity Sdn Bhd serta syarikat pengeluar barangan elektrik yang mengambil bahagian.

16) TEKNOLOGI HIJAU : SEMUA PIHAK PERLU BERPERANAN

Apakah itu teknologi hijau? Sehingga kini didapati bahawa tahap kesedaran masyarakat terhadap teknologi hijau masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Buktinya masih banyak kilang-kilang yang mengeluarkan asap hitam yang membahayakan, penggunaan bahan baker kenderaan bermotor yang begitu membimbangkan, alam semulajadi yang semakin banyak dimusnahkan, sungai-sungai yang kotor dan pelepasan karbon ke udara yang banyak. Oleh itu, kempen berterusan untuk meningkatkan kesedaran umum tentang teknologi hijau dan pengurusan sumber tenaga secara berkesan terus dijalankan termasuk melalui artikel ini.

 
Teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semulajadi bagi menangani impak negatif akitiviti manusia. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air, dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk. Produk itu akan selamat digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan. Ia juga menjimatkan tenaga dan sumber asli serta menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui. Objektifnya termasuklah mengurangkan kadar penggunaan tenaga dalam masa yang sama meningkatkan pembangunan ekonomi. Selain itu, teknologi hijau memastikan pembangunan mapan dan memulihara alam sekitar untuk generasi akan datang serta meningkatkan pendidikan dan kesedaran awam terhadap teknologi hijau dan meluas teknologi hijau. Teknologi hijau juga mampu mengurangkan pelepasan gas karbon ke udara yang menyebabkan fenomena perubahan cuaca dunia.
 

Antara kesan-kesan fenomena perubahan cuaca dunia yang kita rasai ialah cuaca yang melampaui seperti keadaan cuaca panas yang sedang kita hadapi pada masa ini. Dasar Teknologi Hijau Negara yang dilancarkan itu berasaskan kepada empat tonggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga, teknolgi hijau akan mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa yang sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara. Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi Negara. Dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.


“Bumi tidak lagi mampu menanggung beban penggunaan kurang mapan dan pembaziran dilakukan manusia,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucaptama sesi pembukaan di Abu Dhabi pada 18 Januari tahun ini. Tenaga berperanan penting dalam semua aktiviti. Sumber tenaga Malaysia dibahagikan kepada 2 jenis iaitu sumber tenaga konvensional(tidak boleh diperbaharui) dan tidak konvensional(boleh diperbaharui). Sumber tenaga konvensional yang terbesar di Malaysia adalah petroleum dan jenis sumber ini akan semakin berkurangan serta habis jika digunakan secara berterusan. Contoh sumber tenaga bukan konvensional yang tidak terhad diguankan ialah biojisim dan solar.

Ketika Revolusi Perindustrian yang bermula di Britain sejak abad ke-18 hinggalah ke hari ini, tenaga yang menggerakkan pembangunan dan pertumbuhan dunia ialah bahan api fosil yang terdiri daripada minyak, gas dan arang yang merupakan sumber tenaga konvensional. Bahan api fosil banyak membantu dalam pembangunan tetapi ramai orang tidak sedar dampak penggunaan bahan fosil terhadap bumi ini. Penggunaan bahan bakar fosil yang semakin meningkat telah berperanan besar dalam fenomena pemanasan global dengan melepaskan karbon dioksida(CO2) ke udara bebas dan seterusnya mempengaruhi perubahan iklim dunia. Untuk mengurangakn bilangan manusia yang hanya memikirkan keuntungannya tanpa melindungi bumi, pemimpin dunia telah memperkenalkan pemakaian tenaga alternatif yang menggantikan bahan bakar fosil yang membahayakan.


Terdapat pelbagai bahan boleh dijadikan alternatif bagi mengurangkan penggunaan bahan bakar fosil seperti tenaga solar(matahari), tenaga air, tenaga angin, hidrogen, dan biojisim kelapa sawit. Malaysia merupakan Negara yang beriklim panas dan lembap sepanjang tahun. Kita boleh memanfaatkan cahaya matahari pada waktu siang sebagai seumber tenaga untuk menggantikan tenaga elektrik. Walaupun kos untuk sistem solar tinggi dan sesetengah kawasan tidak mendapat matahari untuk jangka masa panjang kerana keadaan cuaca tidak menentu, tetapi kebaikannya tidak boleh diabaikan juga. Tenaga matahari dapat mengurangkan pencemaran udara dan kesan rumah kaca serta tenaganya boleh disimpan untuk penggunaan eletrik pada waktu malam. Tenaga ini boleh dimanfaatkan untuk tiang lampu yang banyak di Malaysia.

Tenaga hidro berasal daripada air yang mengalir mengandungi tenaga yang boleh diubah menjadi tenaga elektrik. Tenaga hidro menampung keperluan pertanian. Tanah Malaysia yang kaya dengan flora dan fauna telah menjadikan Negara kita sebagai kawasan yang mempunyai bekalan air yang berterusan. Hampir 90% daripada sumber tenaga yang diperbahrui datang daripada kuasa hidro. Empangan telah digunakan sebagai sebuah stesen janakuasa hidro untuk menakung air sungai. Kebihan tenaga ini termasuklah tenaga ini adalah percuma. Air juga dapat disimpan di dalam empangan dan sedia digunakan pada masa yang diperlukan serta tidak ada sisa buangan yang menyumbang kepada pencemaran. Tenaga ini juga lebih diyakini berbanding dengan tenaga angin, matahari dan gelombang.


Hidrogen juga merupakan bahan penggantian untuk bahan bakar fosil. Hidrogen boleh digunakan sebagai sejenis bahan api yang menggerakkan kenderaan.Hidrogen dibakar dalam enjin melalui kaedah yang serupa dengan kereta petrol tradisional. Dalam penukaran sel bahan api, hydrogen bertindak balas dengan oksigen untuk menghasilkan air dan elektrik untuk menjana motor tarikan eletrik. Kenderaan yang menggunakan hidrogen sebagai nahan bakar dapat mengurangkan penggunaan gas rumah tanaman dan perosak lapisan ozon. Tetapi untuk mendapatkan bahan ini adalah sukar kerana hidrogen diperoleh melalui kaedah termokimia yang menggunakan gas asli, arang, gas petroleum cecair, biojisim, melalui proses termolisis atau dihasilkan dari air melalui elektrolisis. Oleh itu, hidrogen dikenali sebagai kaedah yang paling kurang cekap dan paling mahal untuk mengurangkan gas rumah hijau.


Biofuel juga merupakan bahan bakar alternatif untuk bahan bakar fosil yang dihasilkan dari bahan-bahan organik. Biofuel dapat dihasilkan secara langsung dari tanaman atau limbah industry, komersial, domestik, atau pertanian. Ada tiga cara untuk menghasilkan boifuel iaitu limbah organik kering(buangan rumah tangga), fermentasi limbah basah(kotoran haiwan) atau fermentasi tebu atau jagung dan tenaga dari hutan. Biofuel menghasilkan karbon dioksida yang jauh lebih sedikit daripada bahan bakar fosil yang mencemarkan udara. Biofuel dapat terurai dan sumber bahan buatan biofuel adalah terjamin serta mampu mengelakkan daripada rumah kaca.

Secara kesimpulannya, satu sistem pengurusan sumber yang berkesan perlu dilaksanakan bagi menjamin bekalan dan penggunaan yang berterusan bagi kegunaan manusia pada masa depan. Untuk mengelak daripada bumi kita dilanda pemanasan global, pemakaian tenaga alternatif adalah amat digalakkan. Saya percaya bahawa teknologi hijau akan dapat banyak membantu dalam memuliharakan alam sekitar kita. Sama-samalah kita menghayati budaya Teknologi Hijau dan menjayakan program teknologi hijau. Cegah sebelum bumi kita padah.